MAGIC HTML

Blog e-Pembelajaran Bahasa Malaysia (Versi Khas Untuk Para Murid SJK(C) Hwa Lien, Pulau Ketam)

Karangan Tahap 1


Ruangan ini disediakan sebagai bahan Program Bacaan Pagi untuk para murid tahap satu.

Karangan yang disediakan dalam halaman ini hanya sesuai untuk murid tahap satu SJKC kerana olahan karangan adalah ringkas.

*Karangan di bawah diubahsuai daripada hasil karya murid.





Karangan 1: Aku Seekor Binatang Peliharaan
    Nama aku Bobi. Aku dilahirkan  sebagai seekor kucing.   Aku berumur 1 tahun. Bulu badan aku berwarna putih.
     Aku dipelihara oleh Ah Beng. Tuan aku sangat sayang akan aku.
     Setiap hari, aku diberi makan. Dengan itu, badan aku kian membesar.
     Tuan aku selalu membersihkan aku. Dia menjaga aku dengan baik.
     Aku berasa gembira kerana mempunyai seorang tuan yang baik. Aku berharap aku akan sentiasa hidup bersama dengannya.





Karangan 2: Kepentingan Menguasai Bahasa Malaysia
     Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan di negara kita. Banyak faedah yang dapat kita peroleh jika kita menguasai Bahasa Malaysia.

     Bahasa Malaysia ialah bahasa perpaduan. Rakyat Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia untuk berhubung.

     Selain itu, bahasa Malaysia juga merupakan bahasa ilmu. Kita perlu menguasai bahasa Malaysia untuk menambahkan ilmu dalam pelbagai bidang.

     Jika kita menguasai bahasa Malaysia dengan baik, kita dapat menghasilkan penulisan bermutu. Misalnya, kita boleh menghasilkan sajak, cerpen, novel dan sebagainya. Kita juga boleh menjadi penulis untuk menambahkan pendapatan.

     Dengan  kata lain, bahasa Malaysia memberi banyak kebaikan kepada kita. Kita perlu menguasai Bahasa Malaysia dengan baik.




Karangan 3: Berita Mengenai Kebakaran
Pelabuhan Klang, 5 Mei – Suatu kebakaran telah berlaku di sebuah rumah kedai yang terletak di sini. Kejadian ini berlaku pada pukul 3:00 pagi.

     Ketika kejadian berlaku, orang ramai bertungkus-lumus memadamkan api yang merebak. Pihak bomba tiba 10 minit kemudian.

     Namun, kebakaran hanya berjaya dipadamkan 20 minit kemudian. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

     Siasatan bomba mendapati, punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas. Kebakaran ini menyebabkan kerugian sebanyak RM 500 000.

     Mangsa-mangsa kebakaran ditempatkan di dewan orang ramai sementara menunggu bantuan. Mereka turut menerima sumbangan daripada penduduk setempat yang prihatin.

     Pihak bomba menasihati para penduduk agar sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan kebakaran berlaku.



Karangan 4: Kebaikan Tinggal Di Kampung
      Terdapat banyak kebaikannya jika kita tinggal di kampung.
     Udara di kampung lebih bersih. Keadaan di sekeliling kampung lebih aman dan tenang. Kampung juga tidak dicemari oleh bunyi bising.
     Penduduk di kampung mengamalkan semangat kejiranan. Mereka hidup bergotong-royong dan tolong-menolong antara satu sama lain.
     Perbelanjaan harian di kampung lebih murah. Dengan itu, kos hidup di kampung lebih rendah berbanding di bandar.
     Kehidupan di kampung pada masa kini lebih selesa. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti bekalan air, elektrik , sekolah dan sebagainya.
     Oleh itu, hidup di kampung lebih baik daripada hidup di bandar.



 Karangan 5: Kepentingan Hutan
     Hutan banyak mempunyai kepentingan kepada manusia.
     Hutan membekalkan oksigen kepada kepada manusia dan haiwan. Tanpa oksigen, manusia dan haiwan akan mati. Hutan juga dapat mengawal suhu permukaan bumi.
     Hutan merupakan sumber pendapatan kepada rakyat menerusi kegiatan pembalakan. Kayu-kayan yang terdapat di hutan digunakan untuk membuat rumah dan perabot.
     Hutan juga dapat mengawal bencana alam seperti banjir dan hakisan tanah. Hutan juga merupakan kawasan tadahan air yang berupaya menyalurkan air bersih kepada manusia.
     Hutan menjadi habitat flora dan fauna. Penerokaan hutan yang berleluasa akan menyebabkan hidupan liar semakin pupus.
     Hutan sangat penting kepada manusia. Oleh itu, manusia perlulah memelihara hutan.



Karangan 6: Jenis-jenis Pencemaran Alam
     Pencemaran alam ialah perbuatan mengotorkan alam sekitar. Pencemaran alam terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu air , udara dan bunyi.

     Pencemaran air berpunca daripada pembuangan sampah-sarap dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai dan laut. Air yang tercemar menyebabkan ikan mati.

     Pencemaran udara disebabkan pembakaran secara terbuka dan pelepasan asap dari kilang dan kenderaan. Udara yang kotor boleh menjejaskan penglihatan.

     Pencemaran bunyi disebabkan bunyi bising daripada kenderaan dan alat hiburan. Bunyi yang bising boleh menyakitkan telinga kita.

     Pencemaran alam boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, kita perlu menyayangi alam sekitar kita.




Karangan 7: Kebaikan Aktiviti Bersukan
     Pada waktu lapang, saya suka bersukan. Bersukan merupakan aktiviti yang sihat.
     Bersukan dapat menyihatkan badan. Kita perlu banyak bersukan agar badan kita sentiasa sihat dan cergas.
     Bersukan dapat mengelakkan rasa bosan. Dengan itu, kita boleh mengisi masa lapang kita dengan bersukan.
    Aktiviti bersukan juga dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat. Semangat bermasyarakat dapat dipupuk dalam perlawanan persahabatan.
    Tidak dapat dinafikan bahawa bersukan memberi banyak manfaat kepada kita. Oleh itu, kita haruslah banyak bersukan.


Karangan 8: Berkelah Di Tepi Pantai
     Pada hujung minggu yang lalu, kami sekeluarga berkelah di tepi Pantai Merdeka. Kami bertolak pada pukul 8 pagi.
     Kami tiba di Pantai Merdeka pada pukul 11 pagi. Saya dan adik membantu ayah dan ibu membawa barang-barang.
     Kemudian, saya dan adik terus berenang menggunakan pelampung. Ayah dan ibu menyediakan makanan di bawah pokok.
     Setelah penat berenang dan bermain air, kami duduk di bawah pokok. Kami sekeluarga makan dan minum bersama. Selepas itu, kami mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.
     Lebih kurang pukul 4 petang, kami pun berkemas untuk pulang ke rumah. Walaupun penat, tetapi kami berasa seronok.


 


Karangan 9: Perhimpunan Sekolah Saya

     Perhimpunan sekolah saya diadakan pada setiap hari Selasa. Perhimpunan sekolah diadakan di dewan sekolah.
     Murid-murid beratur mengikut kelas masing-masing. Murid-murid berdiri tegak semasa lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu sekolah dinyanyikan.
     Bacaan ikrar akan dilakukan oleh ketua pengawas. Guru bertugas akan mengumumkan beberapa perkara penting kepada murid-murid.
     Kemudian, Guru Besar akan memberi ucapan. Selepas tamat perhimpunan, murid-murid masuk ke kelas masing-masing.



*Karangan di atas diubahsuai daripada hasil karya murid. Mohon maaf sekiranya berlaku kesilapan.